Penulis: NOR AZURA BINTI RAMLI - 208715
Apakah sebenarnya yang menjadi motivasi cinta? Cinta yang dimaksudkan adalah cinta kepada sesama. makhluk, terutama kepada sesama manusia. Dalam Islam, bukanlah dilarang untuk mencintai lawan jenis. Lelaki mencintai wanita dan sebaliknya. ALLAH memang menciptakan rasa cinta kepada manusia. Kerana cinta adalah anugerah dari ALLAH, maka cinta harus digunakan sesuai dengan kehendak ALLAH SWT. Inilah yang seharusnya menjadi motivasi cinta.
Dari hadis riwayat Imam Bukhari, Anas bin Malik RA berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seseorang tidak akan pernah mendapat manisnya iman sehingga ia mencintai seseorang, tidak mencintainya kecuali kerana ALLAH; sehingga ia dilemparkan ke dalam api lebih ia sukai daripada kembali kepada kekufuran setelah ALLAH selamatkan darinya, dan sehingga ALLAH dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selainnya.”
Hadith ini memang ditujukan bagi kita yang mahu merasakan manisnya iman. Bukan ‘manis’nya hawa nafsu. Oleh kerana itu, dalam mencintai seseorang (isteri, suami, anak, orang tua, dan sebagainya) harus kerana ALLAH seperti yang dikatakan Rasulullah SAW dalam hadith di atas, ‘tidak mencintainya kecuali kerana ALLAH’, maka siapa yang dicintai dan bagaimana cara mencintai harus sesuai dengan ketentuan ALLAH SWT.
Umat mengaku beriman perlu bersabar mengatasi cabaran ditentukan dalam kehidupan. CINTA adalah penawar. Barang siapa yang hatinya kosong tanpa cinta, nescaya pelbagai penyakit akan bersarang di dalamnya. Cinta adalah kehidupan, kerana hidup seseorang anak manusia bermula daripadanya. Manusia memerlukan cinta untuk bertahan. Manakala, jiwa yang kekeringan cinta bagaikan tercabut roh daripada jasadnya. Berjalan tanpa perasaan, berfikir tanpa keindahan, bosan dan hampa.
Dijadikan indah pada pandangan manusia rasa cinta yang boleh memuaskan nafsu dan syahwatnya. Cinta adalah fitrah yang dibekalkan untuk manusia. Cinta perlu diatur dengan baik, bukan dibiarkan mengganas hingga menyebabkan lupa kepada hakikat kehidupan. Apakah ubat bagi orang yang tertekan, putus asa dan rasa dirinya tidak berguna? Jika kita tersungkur angkara musibah, siapakah yang patutnya dicari? Di manakah ketengan diperoleh?
Manusia amat memerlukan Penciptanya Yang Maha Mengetahui selok-belok dirinya. Jika dia sakit, ubatnya ada pada ALLAH Taala, yang dapat menurunkan setitis rahmat di hati yang tenat. Mengapa hati rasa sempit, dada rasa sesak, segenap jasad tak mampu menahan beban berat jika rahmat ALLAH Taala itu lenyap?
Dari hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya ALLAH memiliki seratus rahmat, Dia menurunkan satu rahmat daripada-Nya untuk manusia, jin, serangga dan binatang. Dengan satu rahmat itu mereka saling berkasih sayang. Dengan satu rahmat itu binatang buas mengasihi anaknya. Dia menangguhkan lagi kurniaan sembilan puluh rahmat, dengan itu Dia akan merahmati hamba-Nya pada hari kiamat.”
Menurut Ibnu Qayyim dalam penulisannya, ibadah itu cinta. Berkasih-kasihan dengan Tuhan. Setiap saat asyik teringat tentang si dia. Apa yang dia larang, kita cuba buat sebaik mungkin untuk tidak melanggarinya. Dan apa yang dia pinta, selagi boleh kita cuba usahakan untuk dapatkannya. Sehinggkan kalau ada orang lain cuba menunjukkan sedikit kemesraan kepada si dia, kita sudah berasa terlalu cemburu. Lantas kita cuba untuk memberikan yang lebih baik lagi.
Jadi, itulah yang dimaksudkan oleh Ibnu Qayyim tentang maksud ibadah. Ibadah adalah cinta. Kalau cinta kepada manusia kita sudah menjadi terlalu gila seperti itu, sepatutnya cinta yang seperti itu kita sandarkan kepada Tuhan.
Kesimpulannya, letakkanlah rasa cinta itu betul pada tempatnya supaya kita bukan sahaja dicintai dan mencintai sesama manusia malah menjadi kekasih ALLAH juga.
‘Kejarlah cinta hakiki, bukan cinta yang tidak pasti.’
0 comments:
Post a Comment