BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

About Us!

My photo
UUM Sintok, Kedah, Malaysia
Pembinaan blog ini adalah merupakan prasyarat bagi mendapatkan markah kerja kursus bagi pelajar-pelajar subjek Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) sesi Julai 2010. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN ANDA!

Pengenalan


Penulis: NOOR ATIKAH BINTI NOORDIN - 208550



"Kemampuan adalah apa yang anda boleh lakukan. Motivasi menentukan apa yang anda lakukan. Sikap pula menentukan bagaimana baik anda lakukannya."


Dewasa ini perkataan motivasi bukanlah suatu perkataan asing dalam masyarakat, malah telah menjadi sesuatu yang lumrah sejak akhir abad ke-20. Walaupun begitu, adakah anda benar-benar faham apakah yang dimaksudkan dengan motivasi dan apa yang anda faham tentang motivasi itu sendiri?


Definisi dan Takrifan Motivasi

Sebelum definisi dan takrifan motivasi dapat dihuraikan, mari baca kisah ini.


Kisah 1:

  
Pada sekitar 60-an dan 70-an, kanak-kanak akan dihantar ke rumah orang-orang alim untuk diajar membaca Al-Quran. Lazimnya, kelas-kelas membaca Al-Quran ini akan dijalankan pada waktu malam. Kebiasaannya, kanak-kanak ini akan dihantar oleh ibu bapa dengan berjalan kaki atau mereka akan pergi beramai-ramai bersama rakan-rakan yang lain. Ada yang lebih berani akan berjalan keseorangan pergi dan pulang. Pada waktu itu masyarakat di kampung-kampung masih lagi menggunakan pelita minyak tanah.

Selalunya, tiada halangan yang lebih besar untuk seorang kanak-kanak pulang dari kelas membaca Al-Quran itu selain takut akan terjumpa hantu.


Kisah 2:

Amir lahir dalam keluarga susah di kampung. Dia merupakan anak sulung dalam keluarga. Selepas kematian ibu bapanya, Amirlah yang terpaksa memikul beban mencari rezeki untuk keluarga. Sejak itu, rutin hidup Amir berubah. Bersekolah pada waktu pagi, bekerja mengambil upah pada waktu petang, menyiapkan kerja sekolah dan menguruskan rumah di waktu malam. Walaupun payah, Amir tidak pernah sesekali terfikir untuk berhenti belajar.

Rutin hidup ini Amir teruskan sehinggalah tamat persekolahan dan bekerja.


Apakah definisi dan takrifan motivasi yang anda dapat melalui kisah-kisah ini?



1. Motivasi sebagai penggerak tindakan


Motivasi bermaksud kemahuan atau kesanggupan untuk melakukan sesuatu tanpa perlu disuruh atau dipaksa (eagerness and willingness to do something without needing to be told or forced to do it). Perkataan motivasi sebenarnya berasal daripada perkataan motif yang bermaksud sesuatu yang menyebabkan seseorang melakukan sesuatu, terutama sekali apabila sebab ini disembunyikan (the reason that makes someone do something, especially when this reason is kept hidden) atau dalam erti kata yang lebih ringkas, motif bermaksud tujuan.

Dalam kehidupan seharian, kita sering terbaca tentang laporan berita yang selalunya menimbulkan persoalan seperti, 'motif pembunuhan', 'motif perundangan' dan sebagainya. Perkataan motif ini boleh difahami sebagai sebab atau tujuan yang menyebabkan sesuatu itu dilakukan.

Berdasarkan kedua-dua kisah di atas, motif atau tujuan kanak-kanak tersebut dan Amir terus belajar adalah untuk menimba ilmu. Sekiranya mereka berhenti belajar, maka mereka tahu mereka akan menjadi  seseorang yang tidak berpelajaran apabila dewasa kelak. Dan motif itulah yang menggerakkan mereka tersebut untuk tetap belajar. Motif itulah motivasi mereka.

Secara ringkasnya, perkataan motivasi boleh didefinisikan sebagai sesuatu yang menggerakkan dan mengarah tuju seseorang dalam tindakannya secara sukarela untuk mencapai keinginannya.


2. Motivasi sebagai pendorong

Motif mempunyai fungsi yang sama dengan matlamat, wawasan, inspirasi, hasrat atau cita-cita, iaitu pendorong utama yang menggerakkan usaha bersungguh-sungguh terhadap sesuatu yang ingin dicapai. Semakin besar dan penting sesuatu yang ingin dicapai itu, maka akan semakin gigihlah usaha seseorang untuk mencapai keinginannya.

Tamsilannya mudah, Amir tetap terus belajar kerana sedar hanya ilmu sahaja yang boleh membawanya keluar dari kepompong kemiskinan. Dan semangat untuk memajukan diri inilah yang mendorong dirinya untuk terus berusaha.

Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan tentang hasratnya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 (Wawasan 2020), pernahkah anda terfikir apakah lonjakan semangat yang menyebabkan Tun mengumumkan hasratnya itu sedangkan pada waktu itu Malaysia bukanlah menonjol dari segi ekonomi?

Tidak salah lagi, motivasilah yang mendorong semangat Tun itu untuk menjadikan Malaysia setanding dengan negara-negara membangun lain seperti Amerika dan Jepun. Hasilnya, usaha gigih Tun dalam mencapai wawasan tersebut hampir meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju dunia.

Oleh itu dengan menetapkan keinginan yang lebih besar dan penting, dorongan yang ditimbulkan di dalam hati seseorang untuk mencapai keinginannya akan menjadi lebih kuat dan teguh.


3. Motivasi sebagai darjah kesungguhan


Tingkat kepentingan terhadap sesuatu yang ingin dicapai secara langsung akan memberi kesan kepada tingkat kesungguhan seseorang itu untuk berusaha. Walaupun  tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan atau mencapai keinginan itu memakan masa, sekiranya keinginan itu sangat penting, usaha seseorang itu untuk mencapai keinginannya akan tetap kukuh sehinggalah keinginannya benar-benar tercapai.

Dalam kisah Amir, semakin kuat keinginan Amir untuk keluar dari kepompong kemiskinan itu, semakin gigihlah usahanya untuk mengubah nasib. Bukan dengan berhenti belajar, malah makin bersungguh-sungguh belajar.

Oleh itu, motivasi juga boleh dijadikan standard bagi mengukur tahap kesungguhan dan tempoh keterusan seseorang itu untuk berusaha bagi mencapai motif, tujuan atau matlamatnya.


4. Motivasi sebagai pemangkin keberanian


Jika dilihat pada situasi Kisah 1, apakah yang mendorong kanak-kanak sekitar tahun 60-an dan 70-an untuk tetap pergi ke kelas membaca Al-Quran walaupun telah disogok dengan pelbagai cerita seram?

Jawapannya, berani untuk pulang adalah lebih baik dari terus menerus berada dalam kegelapan di sepanjang laluan pulang. Mara (berani) dan ‘selamat’, atau berundur dan takut.

Lihat, di sinilah motivasi dapat dikaitkan sebagai sumber kekuatan. Sekiranya seseorang itu bermotivasi, keberaniannya akan terserlah sekalipun halangan dalam mencapai keinginan tersebut benar-benar mencabar.



Kesimpulannya, motivasi adalah sesuatu yang dapat menggerakkan diri kita untuk terus gigih berusaha bagi mencapai apa jua matlamat selagi mana kita tetap fokus terhadap pencapaian matlamat tersebut.

Related Posts with Thumbnails