BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

About Us!

My photo
UUM Sintok, Kedah, Malaysia
Pembinaan blog ini adalah merupakan prasyarat bagi mendapatkan markah kerja kursus bagi pelajar-pelajar subjek Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) sesi Julai 2010. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN ANDA!

Wednesday, September 8, 2010

Mengenal Peribadi Sebenar (dalam konteks menjana keapuhan peribadi yang cemerlang)


Penulis: AHMAD UBAIDAH BIN AZALAN - 199788


 “Untuk mengenal peribadi seseorang manusia yang sebenar, kita perlu membezakan di antara tiga sifat manusia.  Pertama ialah sifat semulajadi, kedua sifat yang terbentuk oleh persekitaran dan ketiga sifat yang dibentuk melalui latihan dan bimbingan.” Kata Dato’ Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah (DMFK) dalam Mengenal Peribadi Anda Yang Sebenar.

Sifat semulajadi ini ialah sifat asal seseorang manusia di mana Allah SWT telah menciptakan hamba-hamba-Nya dengan sifat ini dalam keadaan yang sempurna.  Menurutnya lagi, peribadi manusia yang asal ini adalah yang paling sempurna.

“Tetapi semakin kita membesar, semakin mendewasa kita dalam didikan, persekitaran, ilmu yang kita dapat, pengalaman yang kita lalui menyebabkan sifat kita sekarang dan peribadi sekarang tidak sempurna,” kata DMFK lagi. Oleh itu sifat yang kedua ini menjadikan seseorang manusia itu tidak lagi seperti yang asal dan tidak dapat kembali kepada keadaan yang sempurna seperti ketika baru dilahirkan.

Oleh sebab itu bagi mengembalikan semula peribadi seseorang seperti yang asal, latihan dan bimbingan diperlukan bagi membentuk kembali peribadi yang cemerlang tersebut.  Sifat yang terbentuk dari jenis ini termasuklah dengan cara kaunseling, motivasi, bimbingan dan sebagainya.


Tujuan mengenali peribadi yang sebenar adalah bagi menjana semula peribadi yang cemerlang dan positif dan ini hanya dapat dilakukan melalui perubahan yang dilakukan oleh diri sendiri ke arah kebaikan.  Seperti mana yang telah tercatat di dalam Al-Quran yang bemaksud, “ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi mana mereka itu tidak berusaha mengubahnya.” Jadi, jelaslah di sini bahawa tanpa perubahan maka setiap manusia akan terus berada di takuk yang lama.

Oleh itu, usaha untuk mengenal peribadi anda yang sebenar merupakan salah satu cara bagi melakukan anjakan paradigma dalam diri kita dan selebihnya adalah terpulang kepada diri kita sendiri.

Bagaimana mengenal peribadi anda yang sebenar?

Terdapat banyak cara yang boleh digunakan bagi mengenali peribadi sebenar seseorang itu dan menurut kajian DMFK, terdapat 15 cara yang boleh digunakan bagi mengenali peribadi sebenar seseorang itu.

Walau bagaimanapun, kajian yang dilakukan tidaklah semestinya tepat kerana segala-segalanya adalah berada dalam kekuasaan Allah.  Sebaik dan sebagus mana pun perancangan yang dilakukan, ianya adalah di tangaan-Nya seperti mana firman ALLAH SWT yang bermaksud “Mereka merancang dan ALLAH SWT juga merancang, sesungguhnya sebaik-baik perancang itu adalah ALLAH SWT.”


15 cara tersebut ialah nama dan maknanya, fizikal, tarikh lahir, tulisan, warna kegemaran, turutan dalam keluarga, latar belakang keluarga, ilmu dan amalan ibadah, peribadi pasangan, peribadi kawan rapat, nilai dan pegangan hidup, matlamat hidup, perlakuan dan tindakan, cara komunikasi dan gelombang yang dipancarkan dari tubuh badan.

1.      Nama

Nama dapat membantu seseorang dalam mengenali peribadi sebenar kerana nama itu mempunyai makna dan maksud yang tersendiri. Nama yang diberikan pastinya mempunyai sebab dan alasan yang tersendiri. Menurut DMFK, “Nama boleh bertindak sebagai doa dan juga ubat kepada seseorang.” Oleh yang demikian, nama dapat mempengaruhi tindakan dan peribadi seseorang.

Jadi, fahamilah makna dan bertindaklah seperti nama yang diberi.  Sebagai contoh, AHMAD yang bermaksud yang terpuji. Orang yang bernama ini mestilah bertindak mengikut maksud nama yang sebenar.

Secara kesimpulannya, perubahan dapat dilakukan oleh seseorang individu ke arah yang lebih baik, positif dan cemerlang dengan mengetahui maksud nama masing-masing.

2.      Fizikal


Dari segi psikologi, manusia terdiri daripada tiga morfologi (bentuk) iaitu kurus, sederhana dan gemuk. Orang yang berbadan kurus mengikut kajian merupakan seorang yang tidak banyak tidur, mudah terbangun, selera makan yang kurang, gemuruh dan kelam kabut.  Mereka merupakan individu yang kreatif tetapi stamina yang kurang memuaskan, pantas, cergas, aktif, tetapi boleh menjadi penakut dan tidak berkeyakinan. Juga suka dibelai, diberi penghargaan dan perlu rasa selamat.

Manakala orang yang berbadan sederhana pula didapati, berat badannya mudah naik dan turun. Suka tidur, selera makan yang baik, bersemangat tinggi, tidak berfikir panjang, sensitif dan suka mencari kesempurnaan.  Ciri-ciri individu jenis ini pantas, pintar, suara lantang, tegas dan meyakinkan, daya ingatan tajam, pemikiran kritikal, suka dan pandai berdebat, suka bagi pendapat dan idea. Walau bagaimanapun, mereka ini kurang sabar dan sensitif.

Orang yang berbadan gemuk pula berat badannya mudah naik, suka tidur, suka makan banyak dan perlahan.  Orang jenis ini juga seorang yang tenang, sabar, penyayang dan rapi.  Mereka juga sangat bertolak ansur, tidak kelam kabut, bercakap dengan perlahan dan tersusun dan ingatan yang tajam.

Selain itu mengikut kajian psikologi, orang yang berambut ikal mayang itu seorang yang pengasih, penyayang, lemah lembut, prihatin dan tenang. Manakala orang yang mempunyai dahi luas berdasarkan kajian merupakan orang yang banyak berfikir dan bijaksana manakala orang yang berdahi sempit ini orang yang kurang berfikir tetapi pintar.

Kajian terhadap orang yang bermata bulat pula menunjukkan individu tersebut pengasih dan pandai menunjukkan kasih sayang manakala orang yang yang bermata sepet pula tidak pandai mempamerkan kasih sayang.

Secara kesimpulannya, individu yang ingin melakukan perubahan perlu mengetahui akan perawakan fizikalnya sebagai panduan.

3.      Tarikh Lahir


Mengikut kajian, tarikh lahir juga dapat mempengaruhi peribadi seseorang.  Walau bagaimanapun kata DMFK, “Segalanya ditentukan oleh ALLAH SWT.”  Berdasarkan tarikh lahir, terdapat tiga jenis individu yang dibahagikan berdasarkan tarikh lahir iaitu jenis A, B dan E.

Ciri-ciri individu jenis A ini orang yang kelam kabut, tidak sabar, cari kesempurnaan dan suka mencari kehebatan. Orang jenis ini lahir pada bulan Februari, April, Jun, Ogos, September, November dan Disember. Manakala jenis B pula seorang yang tenang, sabar, tolak ansur mudah berbincang dan tidak cerewet.  Orang jenis ini lahir pada bulan Januari, Mac, Mei, Jun, Julai, Oktober, dan Disember.  Jenis E terdiri dari individu yang sangat emosional, mudah marah dan mudah melenting. Jenis E pula lahir pada bulan Februari, Mac, April, Julai, Ogos dan September.
Jadi, menurut kajian DMFK tarikh lahir boleh membentuk peribadi seseorang tetapi hanya dengan izin ALLAH SWT.  Carilah penyelesaian kepada masalah yang timbul.

4.      Tulisan


Dalam ilmu psikologi, ilmu mengenal peribadi seseorang melalui tulisan juga dikenali sebagai ilmu grafologi.  Menurut kajian ilmu grafologi terdapat beberapa jenis tulisan yang dapat mencirikan peribadi seseorang iaitu melalui tekanan, bentuk tulisan, kecondongan tulisan, rapat atau jarang, berdasarkan huruf J, G, Y, Z dan berdasarkan palang huruf ‘T’.

Secara ringkas orang yang tekanan tulisannya kuat secara umumnya seorang yang sihat, cergas, pantas, dan agresif manakala tulisan bertekanan rendah merupakan orang yang tidak bertenaga, kurang sihat dan mudah sakit.  Manakala bagi tulisan yang berbentuk bulat adalah seorang yang emosional, pengasih, otak kanan, prihatin dan kreatif dan tulisan yang berbentuk tajam pula adalah seorang yang rasional, sistematik, dan otak kiri.  Dari segi kecondongan tulisan pula yang condong ke kanan adalah seorang yang suka bercerita, mudah berkongsi maklumat, mudah memimpin, berani, dan suka berkawan.  Kecondongan ke kiri pula adalah seorang yang pemendam, agak pemalu, tidak suka berubah, amat setia pada kekasih, keluarga, organisasi dan negara.

Kesimpulannya, tulisan seseorang mampu mempengaruhi peribadi seseorang kerana tulisan merupakan cermin peribadi.  Jadi, untuk melakukan perubahan dalam diri, kita boleh mengenal tulisan kita dan menukar tulisan untuk mengubah peribadi masing-masing.

5.      Warna Kegemaran


Warna kegemaran seseorang juga dapat membantu mengenali peribadi sebenar seseorang itu.  Ini kerana warna kegemaran juga mempengaruhi peribadi seseorang. Sebagai contoh, Nabi Muhammad SAW sendiri menyukai warna hijau, hitam dan putih.  Berdasarkan kajian DMFK, orang yang menggemari warna hijau sukakan alam sekitar yang juga tenang, prihatin, pengasih dan kreatif.  Walau bagaimanapun, kelemahan orang yang menyukai warna jenis ini mudah diambil kesempatan oleh orang lain.  Manakala bagi orang yang menggemari warna hitam pula adalah seorang yang serius, komited, iltizam yang tinggi, mudah bersedih dan tidak pandai bergurau.

Terdapat banyak lagi kajian yang mendapati warna kegemaran boleh mencerminkan peribadi seseorang.  Secara kesimpulannya, anjakan paradigm itu dapat dilakukan dengan mengenali apakah warna kegemaran kita dan berusahalah untuk melakukan perubahan berdasarkan karakter yang dipancarkan melalui warna kegemaran ini.

6.      Turutan dalam Keluarga


Mengikut kajian turutan dalam keluarga juga boleh mempengaruhi tingkah laku dan peribadi seseorang di mana ianya juga menjadi salah satu faktor bagi seseorang individu itu untuk berubah jika mereka mengenali peribadi mereka berdasarkan kajian turutan dalam keluarga ini.

Secara umumnya menurut DMFK, anak sulung mempunyai beberapa ciri yang mungkin wujud secara semulajadi atau berdasarkan persekitaran di mana mereka ini kebiasaannya seorang yang cemerlang, mungkin besar, kuat dan mungkin lebih bijak berbanding dengan adik beradik lain.  Mereka juga biasanya lebih dominan dan suka mengawal.  Kebanyakan anak sulung biasanya pandai memimpin dan menurut DMFK, 29 daripada 31 angkasawan merupakan anak sulung.  Mereka juga dikatakan berkebolehan untuk terlibat dalam politik, menjadi CEO, peguam, arkitek dan akauntan.

Manakala bagi anak yang turutannya di tengah (2, 3, 4...) pula dikatakan boleh menjadi orang tengah dan pendamai.  Ciri-ciri individu yang lahir ini dikatakan tenang, seorang yang diplomatik, mudah berkawan dan tidak cerewet.  Mereka juga menurut kajian DMFK lagi adalah seorang yang tidak tetap pendirian, pandai menyimpan rahsia dan suka mengambil jalan tengah.

Bagi anak bongsu pula mempunyai sifat-sifat yang berani, suka mengambil risiko, bertolak ansur, kreatif dan cepat dewasa kerana keadaan persekitaran.  Seorang yang kelakar, peramah dan boleh menjadi terlampau manja dan mementingkan diri sendiri.  Kebanyakan orang dari kategori ini sesuai terlibat dengan masyarakat dari segi kerjayanya seperti pensyarah, cikgu, jurujual dan sebaginya.

Walau bagaimanapun, ciri-ciri yang ditemui dalam kajian yang dilakukan tidak semestinya tepat dan jitu kerana terdapat berbagai-bagai faktor lagi yang secara langsung atau tidak sama ada disedari atau tidak boleh mempengaruhi peribadi seseorang.

7.      Latar Belakang Keluarga


Antara faktor yang mempengaruhi peribadi seseorang juga ialah latar belakang keluarga di mana menurut kajian psikologi oleh DMFK faktor ini menjadi cermin kepada peribadi seseorang.

Seperti mana yang diketahui, keluarga yang aman, damai dan tenteram atau secara tepatnya keluarga bahagia merupakan penjana kepada sikap positif anak-anak.  Keadaan suasana persekitaran yang wujud ini dinamakan suasana yang harmoni, tenang dan kodusif mampu mengelakkan peribadi anak-anak daripada menjadi negatif.

Menurut DMFK, peranan ibu sangat penting dalam membentuk peribadi seseorang anak di mana ibu perlu lebih tegas bagi membentuk anak-anak yang berdisiplin.  Di samping itu, bapa juga perlu berperanan bagi membantu ibu dalam pembentukan anak-anak di rumah.

8.      Ilmu dan Amalan Ibadah


Faktor ini juga dapat mempengaruhi peribadi seseorang individu kerana kebiasaannya individu yang semakin banyak ilmunya dan semakin tinggi ilmunya adalah seorang yang positif.  Walau bagaimanapun, ilmu tanpa di sertai amalan ibadah tidak akan dapat meningkatkan peribadi seseorang ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, secara kesimpulannya dapatlah dibuat gabungan ilmu dan amalan ibadah yang tinggi dan banyak akan memantapkan peribadi seseorang.

9.      Peribadi Pasangan


Faktor peribadi pasangan juga dapat membantu kita mengenal peribadi yang sebenar kerana menurut DMFK, ALLAH SWT telah menetapkan jodoh kepada pasangan yang mempunyai sikap dan perangai yang berlawanan.  Hal ini kerana ianya dapat melengkapkan antara satu sama lain. Contohnya, kebiasaannya jika seorang suami itu banyak mulut maka isterinya adalah seorang yang lebih pendiam dan tidak banyak bercakap.

Faktor ini merupakan hasil kajian DMFK yang telah terlibat dalam lebih 5000 kes berkenaan dengan faktor ini dan mendapati jarang sekali pasangan suami isteri yang mempunyai perangai dan sikap yang sama.  Menurutnya lagi, seseorang itu harus percaya bahawa pasangan yang ada sekarang adalah yang terbaik dan paling sesuai mereka kerana jodoh pertemuan yang terjadi adalah telah ditetapkan oleh Allah SWT.

10.  Peribadi Kawan Rapat


Peribadi kawan rapat, nilai dan pegangan hidup dan perlakuan dan tindakan merupakan faktor-faktor yang telah dikaji dapat membantu seseorang mengenal peribadi sebenar individu tersebut.

Secara ringkas, peribadi kawan rapat sama ada baik atau buruk mempengaruhi perangai seseorang.  Ini dapat dilihat jika seseorang berkawan dengan orang kaya maka mereka juga cuba untuk meniru gaya hidup, perangai dan peribadi orang kaya tersebut bagi berkawan dengan mereka.

11.  Nilai dan Pegangan Hidup

Sementara itu, nilai dan pegangan hidup juga mempengaruhi sikap dan peribadi seseorang di mana terdapat individu yang bermatlamatkan dunia dan ada juga individu yang menyimpan cita-cita untuk akhirat. Secara umumnya, kedua-duanya tidak salah tetapi sikap di antara keduanya sangat jauh berbeza jika dikaji.  Walau bagaimanapun, kehidupan akhirat itu lebih penting kerana perjalanan hidup di dunia hanyalah sementara.

12.  Perlakuan dan Tindakan

Perlakuan dan tindakan seseorang individu itu juga dapat menjadi cermin kepada sikap seseorang di mana orang yang bertindak pantas dikatakan mempunyai tahap IQ yang tinggi namun kurang sabar.  Manakala bagi yang lambat bertindak itu dikatakan seorang yang tenang.

13.  Matlamat Hidup


Matlamat hidup atau juga disebut cita-cita hidup setiap individu itu berbeza dan ini memberi kesan kepada peribadi seseorang.  Sebagai contoh, peribadi orang yang bercita-cita untuk bekerja kerajaan itu dikatakan seorang cepat berpuas hati dan lambat melakukan sesuatu kerja.  Manakala orang yang cenderung untuk kerja di sektor swasta lebih menumpukan perhatian terhadap kerja, cepat, dan berkualiti dalam melakukan sesuatu kerja.  Walau bagaimanapun, menurut DMFK ciri ini tidak menggambarkan peribadi seseorang yang sebenar kerana ianya hanya berdasarkan kajian tetapi belum dapat menjamin kejituan yang sepenuhnya.

14.  Cara Komunikasi dan Gelombang yang Dipancarkan Dari Tubuh Badan


Cara komunikasi dan gelombang badan yang positif dapat melahirkan peribadi yang positif.  Ini dapat dilihat kerana cara komunikasi seseorang itu menggambarkan bagaimana watak dan karakter seseorang.  Manakala bagi orang yang penuh dengan sikap positif, sayang dan bersangka baik akan mengeluarkan gelombang tubuh yang positif dan serasi hingga dapat dirasai oleh orang lain.  Faktor ini juga dapat mempengaruhi karisma yang telah semulajadi terbentuk di mana orang yang mempunyai karisma ini mudah dipercayai, disayangi, disokong dan dikasihi orang lain.

Rumusannya dapatlah difahami bahawa kesemua ciri-ciri yang disebutkan tadi dapat mempengaruhi peribadi seseorang individu dimana ianya dapat membantu kita mengenali peribadi kita yang sebenar.

Walaupun terdapat beberapa ciri yang dikaji tidak sepenuhnya menggambarkan peribadi sebenar seseorang, ianya boleh dijadikan panduan kepada individu yang ingin berubah ke arah yang lebih positif dan yang lebih baik kerana perubahan itu dapat dilakukan setelah kita mengenal pasti apakah yang perlu diubah.

Persoalannya, adakah anda sudah bersedia untuk berubah setelah mengetahui peribadi anda melalui ciri-ciri yang telah diberikan tadi?


0 comments:

Related Posts with Thumbnails