BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

About Us!

My photo
UUM Sintok, Kedah, Malaysia
Pembinaan blog ini adalah merupakan prasyarat bagi mendapatkan markah kerja kursus bagi pelajar-pelajar subjek Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) sesi Julai 2010. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN ANDA!

Wednesday, September 8, 2010

Mengatasi Stress


Penulis: NOR EZANI BINTI SHAMSURI - 208656



Stress atau tekanan melibatkan penggunaan semua sistem yang ada dalam badan yang melampaui keupayaan. Individu berkenaan mendapati sukar menyesuaikan diri dengan keadaan dan memerlukan usaha yang lebih baik. Menurut Dr. Hans Selve dalam Phillip W.Long, stress ialah suatu tindak balas bukan spesifik tubuh terhadap rangsangan yang diterima. Rangsangan tersebut boleh jadi ancaman, cabaran atau sebarang perubahan yang memerlukan tubuh membuat penyesuaian. Tindak balas ini adalah automatik. Stress yang positif dikenali sebagai ‘eustress’ manakala stress yang negatif  menurut Gold Yvoone dan A.Roth Robert pula dikenali sebagai ‘distress’.


Stress ialah ketidakseimbangan antara intelek, emosi dan fizikal individu yang disebabkan oleh persepsi individu terhadap sesuatu situasi sehingga menghasilkan tindak balas fizikal dan emosi. Tindak balas ini boleh dianggap sebagai sesuatu yang positif atau negatif bergantung kepada interpretasi individu tersebut.

Tanda-tanda Stress

Tanda-tanda stress terbahagi kepada empat bahagian iaitu dari segi fizikal, mental, emosi dan perlakuan:

1.      Fizikal: Tanda-tanda dari segi fizikal ialah cepat merasa letih, sakit kepala, sukar tidur atau insomnia, sakit otot terutamanya di bahagian leher dan bahu, jantung berdenyut pantas, dada merasa sakit, kejang perut, merasa loya, gementar, cepat berpeluh, kerongkong rasa tersekat, penafasan cepat, selera makan berubah, kaki dan tangan terasa sejuk, rambut keguguran dan sering demam.

2.      Mental: Dari segi mental pula ialah tumpuan dan ingatan lemah, fikiran bercelaru.

3.      Emosi: Dari segi emosi pula ialah mudah bimbang, risau, muram, gugup, mudah marah, cemas takut, mudah panik dan perasaan tidak sabar.


4.      Perlakuan: Perasaan gelisah seperti mengigit kuku, sering gigit bibir, sentiasa telan air liur, selalu goyang kaki, menggenggam penumbuk, mengeritkan gigi, menarik rambut, makan dalam kuantiti yang banyak, minum minuman keras, menangis, histeria atau menjerit-jerit tanpa sebab, mengutuk, kuat merokok, minum banyak alkohol, mengambil dadah dan suka melemparkan barang.

Punca-punca Berlakunya Stress

Antara punca-punca berlakunya stress ialah:


1.      Diri Sendiri: Ramai yang tidak sedar penyumbang terbesar kapada berlakunya stress ialah diri kita sendiri. Kesuntukan masa untuk menjalankan tugas atau terkejar-kejar menyiapkan tugasan yang diberi merupakan salah satu punca berlakunya stress.

2.      Penyakit: Penyakit yang dialami juga sedikit sebanyak mengganggu perasaan mereka sendiri dan boleh mendatangkan stress. Penyakit yang dialami akan menyebabkan seseorang itu mudah berfikiran negatif. Mereka akan merasa diri mereka serba kekurangan kerana penyakit yang dialami.


3.      Keluarga: Ramai yang tidak tahu bahawa keluarga juga merupakan penyumbang kepada berlakunya kemurungan. Kebanyakan individu yang mengalami stress berpunca dari rumah iaitu keluarga mereka sendiri terutamanya sekiranya berada dalam keluarga yang berpecah-belah.

4.      Rakan: Rakan merupakan individu kedua yang rapat dengan kita selain daripada keluarga kita sendiri boleh juga menjadi faktor terpenting berlakunya stress. Walaupun mereka rapat dan mungkin lebih memahami diri kita, ini tidak bermakna mereka tidak boleh mendatangkan stress kepada kita. Pergaduhan sesama rakan sebaya boleh menyebabkan berlakunya stress.

5.      Keadaan sekeliling: Keadaan sekeliling juga menyumbang kepada berlakunya stress. Antaranya ialah keadaan sekeliling yang bising. Keadaan ini akan menyebabkan individu mudah merasa stress. Selain itu, keadaan sekeliling yang berbau busuk juga turut akan menyebabkan individu stress.

6.      Masyarakat: Keadaan masyarakat yang huru-hara juga akan menyebabkan berlakunya stress. Contohnya, jiran kita bergaduh sesama sendiri, kita pula tersepit di tengah-tengah dan keliru untuk menyebelahi siapa.

Cara Menangani Stress mengikut Kaedah yang Dianjurkan Islam

Tekanan yang dihadapi akan menyebabkan kita gagal berfikir dengan waras dan kadang-kadang akan menyebabkan kita mengambil jalan mudah untuk menanganinya sendiri seperti mengambil dadah, bunuh diri dan sebagainya. Berikut adalah  cara-cara menangani stress mengikut kaedah Islam:


1.      Berwuduk: Apa kata sekiranya anda merasa stress anda mengambil wuduk. Nescaya hati anda akan merasa tenang. Bagi para pelajar, sebelum anda mengulang kaji pelajaran ambillah wuduk.

2.      Membaca Al-Quran: Ayat al-Quran adalah pengubat segala penyakit. Sekiranya anda merasa stress, bacalah al-Quran. Pastinya jiwa anda akan merasa tenang. Waktu yang paling sesuai untuk membaca al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain yang sesuai seperti sebelum tidur.

3.      Beribadat: Selain bersolat sebanyak lima kali sehari semalam, kita juga disuruh untuk memperbanyakkan amal ibadah kita. Salah satu caranya ialah dengan mendirikan solat sunat. Antara solat sunat yang terdapat dalam islam ialah solat sunat hajat, solat sunat taubat dan sebagainya. Sekiranya kita sering bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat sunat nescaya hati kita akan diberi ketenangan oleh Allah SWT dan nescaya apa yang anda pelajari akan mudah anda ingati.


4.      Selalu berdoa: Sesungguhnya tiada Tuhan lain yang layak disembah selain ALLAH SWT. Kepada ALLAH jugalah kita memohon sesuatu. Waktu yang mustajab untuk berdoa ialah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Namun begitu, jika kita hanya berdoa sahaja tanpa berusaha, mustahil kita akan memperolehi apa yang diingini. Justeru kita haruslah berdoa, berusaha dan akhirnya bertawakal kepada ALLAH SWT.

5.      Bersangka baik kepada ALLAH SWT: Sesungguhnya yang baik itu datang dari ALLAH SWT, dan yang buruk itu datang dari diri kita sendiri. Oleh itu kita hendaklah bersangka baik kepada ALLAH SWT atas segala dugaan yang dihadapi. Setiap dugaan yang mendatang itu ada hikmahnya.

Cara Menangani Stress


Pelbagai cara yang boleh dipraktikkan untuk menangani stress. Namun ianya bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana mereka mahu menanganinya. Ada sesetengah individu mempunyai cara mereka yang tersendiri untuk menangani stress antaranya makan coklat, tarik rambut, menangis dan sebagainya. Namun adakah cara mereka benar-benar efektif untuk menangani stress?

Berikut adalah cara-cara yang efektif untuk menangani stress:

1.      Bersenam: Melalui senaman kita juga dapat menangani stres. Dengan melakukan senaman selama 20 minit setiap sesi, sekurang- kurangnya tiga kali seminggu, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan fizikal, malah kesihatan emosi kita juga dapat ditingkatkan.

2.      Berehat: Berehat dan tenangkan diri kita dengan mandi wap, berurut dan bermeditasi dapat membantu menangani stress. Selain itu, kita juga dapat menangani stress dengan pergi bercuti di tempat-tempat yang dapat menenangkan fikiran kita.

3.      Minyak Lavender: Penggunaan minyak lavender dapat membantu mengurangkan tekanan. Caranya ialah menyapu minyak lavender ke seluruh badan selepas mandi. Minyak lavender dipercayai mempunyai agen aktif yang mampu meresap ke dalam kulit dan sekaligus mengurangkan tekanan. Selain lavender anda juga boleh menggunakan sari pati bunga-bungaan lain seperti Bach Rescue Remedy, Jan de Vries Emergency Essence dan sebagainya.


4.      Senyum: Selalunya apabila kita berhadapan dengan sesuatu masalah, kita pasti akan tarik muka. Jika tidak pun pasti kita akan mengeluh. Apa kata jika anda menukar tabiat itu dengan tabiat lain iaitu cuba melemparkan senyuman. Keadah ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan tekanan anda malah ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan orang lain yang melihat anda. Jadi apa salahnya anda senyum, senyum itukan sedekah.

5.      Duduk Bersendirian: Kadang kala apabila kita tertekan, adalah lebih baik kita duduk bersendirian. Dengan cara ini kita dapat menenangkan diri. Kita juga harus elakkan diri dari berada di tempat yang bising apabila kita berada dalam keadaan tertekan kerana apabila berada di tempat yang bising, kita akan bertambah tertekan.

6.      Gembirakan Diri: Apabila anda stress, jangan biarkan anda terbawa-bawa oleh emosi itu. Cuba lakukan aktiviti yang boleh menceriakan diri anda seperti keluar bersama rakan-rakan anda, menonton wayang, berkaraoke dan sebagainya.

7.      Dengar Muzik: Muzik sebenarnya mampu menenangkan jiwa. Namun ianya bergantung kepada jenis muzik. Jika anda stress, adalah lebih baik anda mendengar muzik yang lembut dan mampu mendamaikan jiwa seperti bunyi deruan ombak, kicauan burung dan sebagainya. Jangan pula ketika anda stress anda mendengar muzik yang terlalu bising kerana lazimnya anda hanya akan bertambah stress.

8.      Menjerit: Jika anda stress, cuba cara ini. Pasti tekanan anda akan cepat berkurangan. Tapi sebelum anda menjerit pastikan anda memilih tempat yang sesuai dan tidak menganggu orang lain. Kemudian jeritlah sepuas hati anda.


9.      Ketawa dan Menangis: Jika anda stress, tidak salah anda meluahkan perasaan anda dengan menangis. Kadang kala menangis itu mampu mengurangkan tekanan kita. Selain menangis ketawa juga mampu mengurangkan stress. Jika anda stress, cuba lakukan aktiviti seperti keluar menonton wayang yang mampu membuatkan anda ketawa, layari laman sesawang yang mampu membuatkan anda ketawa. Kajian membuktikan bahawa ketawa bukan sahaja mampu menghilangkan stress malah ketawa juga mampu membuatkan anda awet muda.

10.  Tidur: Tidur sebenarnya boleh mengurangkan stress. Apabila individu yang mengalami stress mendapat tidur yang cukup, mereka akan merasa segar dan lebih bersemangat. Masa tidur yang paling ideal ialah 7 hingga 8 jam setiap malam. Tidur pada siang hari juga amat berguna tetapi janganlah tidur terlalu lama. Jangka masa yang paling sesuai ialah 5 hingga 20 minit sahaja. Kadang-kala tidur dengan terlalu lama juga akan menyebabkan berlakunya stress. Oleh itu, elakkan tidur terlalu lama.


11.  Diet yang Seimbang: Diet yang seimbang amat penting untuk tubuh kita. Pengambilan makanan yang bergizi amat penting. Antara makanan yang dapat mengurangkan stress ialah ikan, daging dan makanan yang kaya dengan vitamin B6 seperti hati, kacang, pisang, kentang dan sebagainya. Selain itu, pengambilan air mineral juga amat penting. Ini kerana air mineral dapat membekalkan oksigen kepada otak. Kurangkan pengambilan minuman yang berkafein dan juga elakkan makan makanan segera. Ini kerana makanan segera mempunyai terlalu banyak bahan perisa dan perwarna yang boleh menjejaskan kesihatan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails