BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

About Us!

My photo
UUM Sintok, Kedah, Malaysia
Pembinaan blog ini adalah merupakan prasyarat bagi mendapatkan markah kerja kursus bagi pelajar-pelajar subjek Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) sesi Julai 2010. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN ANDA!

Wednesday, September 8, 2010

Hidup Lebih Ceria


Penulis: SITI KHATIJAH BINTI ABDUL MOIN - 205912



Ceria secara umumnya dapat diertikan sebagai perasaan gembira dan berpuas hati terhadap setiap perkara. Perasaan ceria merupakan reaksi positif kejiwaan yang muncul daripada pelbagai aspek kehidupan. Perasaan gembira dan ceria mampu membantu kesihatan psikologi kembali menjadi pulih dan berada dalam keadaan yang stabil. Orang yang sentiasa ceria adalah orang yang sentiasa yakin dan tenang.


Aristotle, ahli falsafah Yunani kuno berpendapat bahawa keceriaan diperolehi melalui cara hidup yang berilmu pengetahuan. Manakala ahli falsafah dan ilmuan lain pula menyatakan bahawa keceriaan hidup hanya mampu diperolehi dengan cara hidup yang bermoral dan berpegang teguh kepada agama masing-masing.

Apakah tips agar sentiasa ceria?

1.      Sentiasa Tersenyum dan Tertawa


Senyuman bukan sahaja disifatkan sebagai satu sedekah tetapi juga senyuman mampu menceriakan diri sendiri dan orang lain. Apabila kita tersenyum, otot kiri dan kanan akan bergerak dan membuatkan wajah nampak ceria dan menarik. Dalam aspek perubatan pula, tertawa dan gembira merupakan reaksi reflektif yang menyebabkan pergerakan 15 otot wajah di samping mampu mempercepatkan peredaran darah dan pernafasan sehingga mampu menambah adrenalin darah.

2.      Hidup Tidak Sempurna

Dalam hidup ini, kita sering dilanda dengan pelbagai dugaan yang akan  menyebabkan kita berasa sedih, kecewa, marah dan putus asa. Namun kita seharusnya menyedari bahawa hidup ini tidaklah sempurna. Oleh itu, kita harus menerima segalanya melalui sudut yang positif. Sentiasa yakin bahawa disebalik kepahitan itu tersimpan berjuta kemanisan. Hal ini kerana terdapat orang di luar sana yang 100 kali ganda lebih menderita daripada diri kita.

3.      Mencintai dan Dicintai


Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada perasaan kasih mengasihi dan sayang menyayangi. Kita seharusnya belajar untuk meluahkan perasaan cinta dan sayang, menghargai persahabatan serta menceriakan dan menghangatkan suasana sesama manusia.

Disamping itu, kita juga seharusnya belajar meringankan lidah untuk mengucapkan kata-kata penghargaan dan memberi pujian kepada orang lain. Hal ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia sekaligus menyebabkan hidup kita sentiasa ceria kerana impak positif yang diberikan daripada orang di sekeliling.

4.      Menjaga kesihatan diri

Kesihatan diri merupakan senjata kepada kesihatan mental. Mental yang cerdas menjanjikan fizikal yang cergas. Hargailah diri sendiri. Melakukan senaman yang teratur dapat melepaskan endorfin yang mampu memberikan perasaan yang ceria. Pengambilan makanan turut mempengaruhi emosi dan corak pemikiran seseorang. Oleh itu, kita seharusnya bijak membuat pilihan dalam aspek pengambilan makanan setiap hari. Para psikologi percaya bahawa  keceriaan mampu menjadi penawar terhadap beberapa jenis penyakit malah dapat mengekang pertumbuhan sel-sel kanser tertentu.

5.      Amalkan 3 JANGAN


Pertama, jangan takut dan kuatir. Hadapilah hari-hari kita dengan tenang dan yakin. Kedua, jangan menyimpan dendam. Dendam terhadap diri sendiri dan orang lain akan menyebabkan hidup menjadi tidak tenteram dan sering dibelenggu perasaaan tidak puas hati dan kecewa. Ketiga, jangan berprasangka buruk. Orang yang sentiasa berada dalam situasi ini akan hilang kepercayaan terhadap setiap yang berada disekelilingnya.
 
Apakah kebaikan sentiasa ceria?

1.      Terhadap diri sendiri

Hidup yang ceria dapat menjadikan seseorang itu bersikap lebih optimis, yakin terhadap diri sendiri, tenang apabila menghadapi masalah, mudah menerima pandangan dan pendapat orang lain serta berupaya untuk memajukan diri sendiri ke arah yang lebih baik. Seseorang itu juga akan mudah mendapat kawan baru dan tiada masalah dengan persekitarannya. Cara hidup yang sentiasa ceria juga dapat melanjutkan usia serta memberikan kesan awet muda kepada seseorang itu.

2.      Terhadap orang lain


Seseorang yang sentiasa ceria akan menyebabkan sesiapa yang berada disekelilingnya berasa senang dan selesa berdamping dengannya. Seseorang itu juga mampu mempengaruhi orang disekelilingnya untuk mengikut cara pemikirannya yang sentiasa positif, optimis dan kritis. Kesannya, masalah seperti perselisihan faham, buruk sangka dan hasad dengki dapat dielakkan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails