BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

About Us!

My photo
UUM Sintok, Kedah, Malaysia
Pembinaan blog ini adalah merupakan prasyarat bagi mendapatkan markah kerja kursus bagi pelajar-pelajar subjek Bahasa Melayu Pengurusan (SBLM 1053) sesi Julai 2010. TERIMA KASIH ATAS LAWATAN ANDA!

Wednesday, September 8, 2010

Mendisiplinkan Diri


Penulis: NUR KHUZAIRIN BINTI UMAR - 208587



Disiplin diri adalah kemampuan untuk membuat diri anda melakukan suatu pekerjaan atau kegiatan tertentu (yang memang perlu anda lakukan demi meraih suatu kejayaan), khususnya pada ketika anda tidak suka untuk melakukan pekerjaan tersebut. Definisi ini penting untuk difahami dengan bersungguh-sungguh, kerana itu saya mencadangkan agar anda membacanya berulang kali secara teliti sehingga benar-benar memahaminya.
Pada umumnya kita cenderung untuk memilih melakukan pekerjaan yang kita disukai sahaja dan menghindari kegiatan yang membuat kita tidak selesa atau tidak mampu. Kecenderungan seperti ini telah menjadi lumrah, bahkan termasuk dalam hal menyelesaikan suatu pekerjaan
yang sudah jelas akan membuat hidup kita menjadi lebih baik pada akhirnya. Mengapa? Kerana kita semua terlahir dengan sifat yang cenderung ‘merangkul kenikmatan dan menolak penderitaan.’ Kita selalu lebih memilih yang mudah, menyenangkan dan serba sederhana.

Ketika saya berkata ‘kita semua’ memiliki kecenderungan atau rutin harian yang sama, ertinya termasuklah orang-orang yang berjaya yang sering kita saksikan di layar kaca televisyen atau membaca di majalah seperti Bill Gates, Warren Buffet, Ronaldo, Rafael Nadal, Kobe Bryant, Tiger Woods, Tom Cruise atau Barack Obama yang selalu disebut-sebut  hebat itu. Mereka semua sama seperti kita.


Pada dasarnya mereka ingin tidur lebih dari empat jam sehari. Ada waktunya ketika Ronaldo malas pergi latihan, pada saat Kobe Bryant hanya ingin santai di depan televisyen sambil menikmati pizza atau makanan kesukaannya, tetapi mereka berusaha dan berjaya mengatasi semua kecenderungan itu dan pergi bekerja atau berlatih.

Kemungkinan kita pula akan bertanya, mengapa mereka bangun subuh, pergi bekerja dan berlatih jika mereka tidak suka atau rasa beban dan berat? Jawapannya mudah, kerana mereka semua sedar bahawa untuk meraih kejayaaan seperti yang mereka capai pada waktu ini ada harga yang harus mereka bayar dan harga itu adalah disiplin diri. Orang berjaya adalah orang yang berjaya memaksa dirinya melakukan suatu pekerjaan pada ketika ia tidak suka melakukannya. Tanpa disiplin diri, seorang yang lahir pintar sekalipun tidak akan mencapai sesuatu yang bermakna dalam hidupnya.

Antara tips untuk mendisiplinkan diri termasuklah:


1.      Senaraikan semua usaha ke arah pencapaian matlamat anda mengikut keutamaan. Kemudian, pilih lima hingga sepuluh yang teratas dan laksanakan. Anda dikira sudah berdisiplin sekiranya dapat melaksanakan lebih daripada lima langkah yang paling utama itu.

2.      Lekatkan poster, cogan kata atau kata-kata yang menjelaskan matlamat anda itu di tempat-tempat yang mudah dilihat. Jangan malu, isytiharkan pada semua tentang apa yang anda akan capai. Yang penting, pengisytiharan itu akan mendorong anda setiap kali anda melihatnya.


3.      Tetapkan apa yang anda ingin lakukan setiap hari. Amalkan perancangan mingguan dan harian yang teratur. Usah biarkan hari-hari berlalu sepi tanpa sesuatu pencapaian kecil ke arah pencapaian matlamat besar anda.

4.      Setiap perkara penting yang hendak dilaksanakan hendaklah ditulis tarikhnya. Ini akan memberikan satu kepuasan dan kemenangan apabila tarikh itu berjaya ditepati. Anda akan rasakan matlamat yang dikejar semakin hampir.

5.      Bagi satu tugasan yang terlalu sukar atau membosankan (tetapi sangat penting), lebih baik mulakan secara berperingkat-peringkat. Jangan menunggu kesempurnaan untuk memulakannya kerana ia akan menjerumuskan anda ke satu keadaan ‘tidak berbuat apa-apa’. Ingatlah, rasa tidak selesa semasa melakukan aktiviti tersebut adalah lebih baik daripada rasa risau, takut dan kesal sekiranya anda tidak melakukannya langsung.


6.      Gunakan masa yang paling optimum dalam hidup seharian anda untuk melakukan tugas-tugas yang paling penting. Dan ingat, jangan terus pergi ke bahagian yang sukar, sebaliknya mulakan pada bahagian-bahagian yang lebih mudah dahulu. Ini akan memberikan anda satu momentum untuk melakukan bahagian-bahagian tersukar dalam tugasan yang paling mencabar.

7.      Amalkan dialog diri yang positif. Pandang tinggi diri anda selalu dengan berkata, “Aku boleh.” Aku boleh berjaya kerana aku adalah orang yang berdisiplin. Jangan terpengaruh dengan kata-kata negatif sama ada yang datang dari dalam diri anda sendiri atau daripada orang luar yang tidak membina.


8.      Janjikan satu masa untuk meraikan kejayaan anda sekiranya anda berjaya melaksanakan tugas-tugas sukar dalam hidup. Contohnya, “Sekiranya aku berjaya menyelesaikan tugas ini, aku akan hadiahkan sesuatu yang bermakna untuk diri aku”.

Bagaimana dengan anda? Adakah saat ini anda sedang menjalani kehidupan yang tidak menyenangkan? Adakah anda sedang diminta menyelesaikan suatu pekerjaan baru dan itu mengganggu ketenangan anda?  Nasihat saya, jalanilah dan kerjakanlah pekerjaan tersebut dengan senyuman dan berbesar hati.

Sebagai contoh, mungkin saat ini anda tinggal di rumah kecil sehingga anda merasa sering direndahkan. Kemudian bayangkan pula rumah indah anda lima tahun ke hadapan sebagai hasil usaha keras anda. Ingat, semua orang bermula dari satu titik iaitu tidak penting bagaimana titik awal ketika anda memulakan perjuangan menuju kejayaan, tetapi yang penting adalah bagaimana titik akhirnya. Maka pastikanlah pada akhirnya anda tampil sebagai juara.


Kesimpulannya tanpa disiplin diri, orang yang lahir pintar sekalipun tidak akan meraih sesuatu yang bererti dalam hidupnya. Oleh itu, pastikan anda melatih diri mulai saat ini. Mungkin sekadar tidur satu jam lebih awal dari kebiasaan agar anda dapat bangun lebih pagi untuk memulakan rutin anda? Mungkin sekadar menjaga kemuliaan kata-kata yang keluar dari mulut ini agar tidak melukai hati orang lain? Atau mungkin sekadar menjaga diri agar tidak terus-menerus tergoda membeli barang-barang mahal yang sebenarnya tidak diperlukan? Anda tentukannya.

Jika anda seorang isteri, bagaimanakah anda mendisiplinkan diri untuk menyambut suami pulang, dengan senyuman dan kasih sayang, walaupun harus menunggu sehingga larut malam? Jika anda seorang suami, bagaimanakah komitmen anda untuk isteri dan anak-anak setiap hari minggu? Fikirkan sesuatu perkara, sesuatu yang kecil dan sederhana saja, lalu disiplinkan diri anda untuk melakukannya selama sekurang-kurangnya dua minggu, lalu perhatikanlah hasilnya. Selamat mencuba!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails